play song

Friday, January 15, 2016

Apa faedahnya?


Kalau dahulu, kebiasaannya lebih popular dengan gelaran mulut laser. Sekarang sudah 'upgrade' kepada yang lebih berbisa. 'Mulut bau longkang', kata mereka. Alahai, macam-macam!
Namun, biar apa pun gelarannya, ia tetap merujuk kepada seseorang yang bermulut jahat. Celupar. Kalau dia bercakap, ada saja yang menyakitkan hati.
Okey, tidak perlu tengok orang lain. Masing-masing cermin diri sendiri.

Kita sendiri bagaimana? Mungkin bukan setiap masa, tetapi ada kalanya kita cukup teruji untuk termasuk ke dalam kategori ini. Laju menyindir orang lain. Lancar mulut melepaskan geram. Petah sekali mulut memulangkan paku buah keras. Tidak kira di mana pun, laman sosial atau berhadapan, ia tetap menjadi tak elok.

"Kau kecam orang, padahal orang ramai kecam kau."
"Macamlah kau bagus sangat, berubah pun tak ikhlas."
"Kau tu bukan bagus, pakai tudung labuh baju labuh tapi perangai tetap sama. Baik tak payah berubah, jadi macam dulu."
"Tweet semua acah mulia, murni padahal perangai macam setan."
"Cakap orang je lebih, padahal dia pun sama."
"Hati awak tak tenang, nak air zamzam saya boleh bagi. Tak pun pakcik saya boleh ubatkan."
"Dia buat sesuatu pun pakwe yang suruh."

Baiklah, sudah cakap sesuka hati seperti itu, apa yang kita rasa?
Puas hati?
Lega?
Jangan harap!
Hakikatnya, tidak akan pernah ada cahaya dalam kegelapan dosa. Tidak akan wujud ketenangan di hati orang yang suka benar menyakitkan hati sesiapa.
Percayalah!

Pada banyak masa dan ketika, sebenarnya adalah lebih baik kita berdiam diri sahaja apabila berdepan situasi yang membuatkan kita rimas. Ambil sedikit masa untuk berfikir sebelum mulut atau tangan kita laju membalas. 
Fikir!

"Kalau aku luahkan apa yang aku rasa, apa yang aku akan dapat? Hanya menyakitkan hatinya. Apa yang akan berlaku? Dia akan berkata nista berkata lagha kepada kita kembali. Apa kemudiannya? Tiada kesudahan. Hubungan persahabatan terlerai? Silaturrahim berkecai? Tekankan pada diri, amalkan silent treatment untuk diri sendiri. Kata selagi mampu, diam selagi boleh. Allah ada bersamaku."

Aduhai fillahku sekalian, sedaya upaya belajarlah untuk terus bersabar. Bukan semua perkara perlu diluahkan meski pun kita tahu ia adalah benar. Bukan semua soalan perlu diberikan jawapan. Bukan semua sindiran dan ejekan perlu dilayan. Ada masanya, kita perlu serahkan sahaja kepada masa. Biar Allah sahaja yang menjawabnya.

Aye ulang balik dialog para Sahabat dan Rasulullah.

"Mahukah aku ceritakan kepadamu tentang sesuatu yang menyebabkan Allah akan memuliakan binaan dan meninggikan darjatmu?"

Para Sahabat menjawab:
"Tentu sahaja, wahai Rasulullah."

Rasul bersabda:
"Kamu bersikap sabar kepada orang yang membencimu, memaafkan orang yang berbuat zalim kepadamu, memberi kepada orang yang memusuhimu, dan menghubungi orang yang telah memutuskan silaturrahim denganmu."
(RIWAYAT TABARANI)









NSYAFQILA RUSLAN

No comments:

Post a Comment