play song

Friday, January 15, 2016

Yang sudah itu sudahlah...



"Saya memang teruk! Banyak sangat dosa saya! Malu rasanya mahu diceritakan tetapi yang pasti saya memang teruk sangat! Entahlah, saya pun tidak tahu adakah Allah akan mengampunkan dosa atau tidak."

Begitulah luahan rasa seseorang kepada aye. Entah apa dosanya yang dikatakan teruk sangat itu tidak pula saya ingin bertanya. Yang sudah tu, sudahlah. 
Istighfar dan muhasabah.
Yang pasti, tatkala mendengar luahannya itu aye menumpang bangga. Kekesalan yang terukir membuktikan imannya masih ada. Bukti bahawa Allah begitu mengasihinya. Bukankah Allah pernah berfirman bahawa apabila Dia mencintai seseorang, pasti akan dikirimkan rasa berdosa di dalam hatinya?

Sedar. Manusia tidak dapat lari daripada melakukan dosa. Istighfar. Meski berbekalkan dengan akal, nafsu sering kali menang menjadi raja. Begitulah lemahnya kita. Namun Firman Allah dalam sebuah hadis Qudsi;

Demi Tuhan yang diriku berada dalam genggamanNya, seandainya kamu tidak berdosa nescaya Allah akan mematikan kamu. Kemudian Allah akan mendatangkan satu kaum yang melakukan dosa dan mereka memohon keampunan kepada Allah lantas Allah mengampuni mereka.
(Riwayat Muslim)

Lihatlah bagaiman Allah memujuk hati kita daripada tenggelam dalam putus asa kerana terlalu memikirkan dosa-dosa. Lihatlah bagaimana bersungguhnya Allah mahu mengingatkan kita tentang sifat maha PengampunNya. Subhanallah. Betapa indahnya hidup apabila bertuhankan Dia!

Allah tidak peduli betapa besarnya dosa-dosa kita. Allah tidak peduli berapa kerap kita melakukan dosa yang sama. Yang Dia mahu adalah penyesalan kita. Yang Dia mahu adalah kesedaran kita bahawa Dia ada! Dia sentiasa ada untuk mengampunkan dosa-dosa kita. Dia sentiasa ada untuk memberikan cahaya.

Sahabat fillahku, berusahalah sedaya upaya untuk menjauhi dosa. Namun terimalah hakikat bahawa sebagai manusia kita tidak akan pernah terlepas daripadanya. Biar sehebat mana kita mengatur langkah untuk berwaspada, pasti tergelincir juga sekali-sekala. Itulah bukti betapa lemahnya kita. Istighfar. Namun, jangan pula ia menjadi asbab untuk kita terus melakukannya. Luangkan masa untuk bangun malam dan berdua-duaan dengan Dia. Berusahalah meraih keampunanNya.

Teruskan berhati-hati . Andai jatuh, cuba bangkit kembali, biar pun hingga berkali-kali. Yang penting, jangan berputus asa. Selagi bernyawa, jalan untuk membersihkan diri sentiasa terbuka. Mulakan hari ini dengan senyum dan semangat. Mulakan hari ini dengan niat dan hasrat mahu menjadi hambaNya yang setia. Setia menjunjung segala perintahnya dan cuba menjauhi laranganNya. InshaaAllah, semoga Dia memandu kita.

Katakanlah: Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang maha Pengampun lagi maha Penyayang.
(Az-Zumar 39: 53)







NSYAFQILA RUSLAN


No comments:

Post a Comment