play song

Saturday, January 2, 2016

Itu urusannya dengan Allah

"Be good to me and I will be good to you."
Begitu kata sesetengah orang. 
Tajam maksudnya, ketat pula syarat-syaratnya.
Kurang lebih, ia membawa maksud yang hampir sama dengan cogan kata yang akan diguna
pakai oleh Dajjal pada saat dia menyesatkan manusia.
"Ikut cakap aku dan engkau akan selamat."
MasyaAllah!

Ukhti fillah ku, jika hari ini kita sedang kecewa dengan perlakuan seseoarang, 
maka tanyakanlah kepada diri sendiri.
Kalau kita melakukan sesuatu kerana mengharapkan balasan daripada Allah,
mengapa kita harus merasa kecewa dengan tindak balas daripadanya?
Di mana keikhlasan kita yang sebenarnya?
Ingatlah, dalam menjalani kehidupan kita di dunia ini,
jangan mengenakan syarat dalam bermuamalat.

Itulah kesilapan terbesar yang mungkin pernah dilakukan kita.
Kita mensyaratkan orang berbuat baik dengan kita, 
barulah kita akan membalas pula kebaikan mereka.
Jika kita buat berbaik kepada orang, dan dia membalasnya dengan buruk,
maka kita dengan segera membencinya.
Lihatlah bagaimana dengan mudahnya kita terjerumus dalam tipu daya syaitan yang menyesatkan.
Dia membisikkan kepada kita agar membuat kebaikan untuk mendapat balasan kebaikan daripada manusia dan bukan kerana keredhaan Allah semata-mata.
YaAllah, betapa bahayanya tahap iman kita berada!

Motivasikan keikhlasan kita dengan mengingati kemuliaan hati seorang anak yang terdapat dalam kisah Nabi Musa a.s .
Pada saat Nabi Musa bertanya kepada Allah perihal jirannya di syurga, Allah telah memberi petunjuk tentang seorang pemuda.
Lantas, ketika Nabi Musa bertemu pemuda tersebut, baginda terkejut apabila melihat betapa pemuda tersebut memelihara dua ekor babi yang besar, malah memeluk dan membelainya dengan penuh kasih sayang.
Apabila ditegur tentang perbuatannya yang menyalahi agama, dengarlah jawapan pemuda tersebut.

"Wahai tuan hamba, sebenarnya kedua-dua babi itu ialah ibu bapa kandungku. 
Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya.
Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain.
Itu urusan mereka dengan Allah.
Aku sebagai anaknya tetap perlu melaksanakan kewajipanku.
Setiap hari aku berbakti kepada kedua-dua ibu bapaku seperti tuan hamba lihat tadi.
Malah, setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan.
Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar,
tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi."

Allahu Akbar! Betapa hebatnya pemuda ini saat dia berkata, 
"Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah.
Aku sebagai anaknya perlu tetap melaksanakan kewajipanku."

Umpama seorang isteri yang sakit hati dengan perangai buruk suaminya namun masih boleh berkata,
"Jika suamiku gagal menjadi suami yang baik, itu urusannya dengan Allah.
Aku sebagai isteri akan tetap melaksanakan kewajipanku."

Subhanallah! Alangkah banyaknya persengketaan yang dapat dielakkan jika para isteri berfikiran seperti ini.
Daripada mengeluh dan merungut tidak tentu hala,
lebih baik memujuk sendiri hati kita.
Bukankah Allah sedang menilainya?

Justeru, walau betapa baik atau buruk sekalipun layanan orang terhadap kita,
pujuklah hati kita agar terus berkelakuan baik terhadapnya.
Berilah segala kebaikan yang kita ada.
Bantu sesiapa sahaja.
Maafkan mereka meskipun hati kita terasa begitu pedih sekali.
Percayalah, dengan memberi, tidak ada apa yang kita akan rugi.
Pujuklah hati kita agar terus ikhlas dalam semua perkara.

"Mahukah aku ceritakan kepadamu tentang sesuatu yang menyebabkan Allah akan memuliakan binaan dan meninggikan darjatmu?"

Para sahabat menjawab,
  "Tentu sahaja, wahai Rasulullah."

Rasul bersabda lagi, 
"Kamu bersikap sabar kepada orang yang membencimu, memaafkan orang yang berbuat zalim kepadamu, memberi kepada orang yang memusuhimu, dan menghubungi orang yang telah memutuskan silaturrahim denganmu."

(RIWAYAT TABARANI)




NSYAFQILA RUSLAN

No comments:

Post a Comment