play song

Thursday, January 14, 2016

Letakkan Allah di depan

Manusia merancang. Allah juga merancang. Sudah semestinya perancangan Allah jauh lebih hebat mengatasi segala perancangan manusia. Begitulah. Masalah yang kita hadapi sampai bila tiada kesudahan. Di setiap yang berlaku mesti ada penyelesaian. Tapi jangan terus mengalah dalam menyelesaikan masalah. Allah hantar manusia atau sesuatu yang berlaku dalam hidup kita untuk uji kita. Dalam kekalutan yang berlaku dalam diri, entah kenapa, Allah campakkan rasa tenang di dalam hati. Aye seolah-olah sudah kalis dengan ujian sebegini. Allah akan bantu. Aye tahu. Dia pasti akan bantu. Di dalam hati, aye terus bermonolog sendiri.
"yaAllah! Engkau uji lagi aku kali ini. Aku redha, yaAllah. Namun bantulah aku mengatasinya."

Tatkala itu, sudah tidak mampu berfikir apa-apa, tak terfikir akan bergelut dalam hal kecil, pergaduhan manusia yang Allah tak memberi, tapi manusia menerima dan memperbesarkan. Allahu Allah. Hanya bertawakal sahaja. Dalam hati penuh yakin inshaaAllah pergaduhan ini akan terlerai, Allah ada untuk membantu, serah padaNya. Nak bahagia mestilah kena rasa pahitnya dulu. Dengan penuh keyakinan yakin dengan janji Allah bahawa sesiapa yang bertawakal kepadaNya pasti akan dicukupkan keperluan mereka.
Kalau kita sedang memandu, tiba-tiba ada sebuah kereta meluncur laju dan tanpa sengaja menghentam belakang kereta kita. Apa yang kita rasa? Macam hendak menghentam muka pemandunya? Apa yang kita akan buat? Keluar dari kereta, menunjukkan muka bengang dan benci? Mempamerkan emosi sakit hati? Siapa yang kita sedang marah?
 Pemandu kereta yang cuai itulah!
Tetapi adakah kita sedar?
Di depan pemandu itu ada Allah!
MasyaAllah!
Allah rupanya yang mengatur kemalangan itu. Pemandu itu asbabnya sahaja. Allah rupanya yang mahu menguji kita. Pemandu itu cuma perantara. Benar dia cuai, tetapi kalau dia cuai sekalipun, kemalangan itu tidak mungkin berlaku tanpa aturanNya. Jika dia sengaja sekalipun, bencana itu tidak akan terjadi tanpa izin daripadaNya.
Astaghfirullah... 
Kita tahu hakikat itu. Namun, kadang-kadang dalam kita ralit melayan emosi, kita terlupa siapakah 'dalang' dalam segala perkara yang menimpa kita. Kita lupa bahawa Allah yang Maha Berkuasa mengatur segala-galanya.
Bersabarlah muslimin & muslimat. Belajarlah menerima hakikat. Apa juga yang sedang menyakitimu ketika ini, ia adalah di bawah kuasa dan keinginan Allah. Dialah yang sedang mengujimu untuk menjadi asbab terhapusnya dosa-dosamu, juga untuk menjadi asbab kepada tingginya martabatmu. Dia yang menjadikan ujian ini sebagai satu jambatan dan batu loncatan untuk beroleh sesuatu yang lebih baik bagi hidupmu dan bekal akhirahmu. Jadi, belajarlah mengawal perasaan. Letakkan Allah di hadapan, dan lihatlah betapa cepat kadar tekananmu berkurangan.
Bersyukur kerana Allah cukupkan lagi keperluan aye. Kita ni manusia yang cukup lemah. Biar sehebat manapun persediaan kita, kita sentiasa memerlukan bantuan daripada Allah. Tidak boleh terlaku yakin dengan diri sendiri. Tidak boleh terputus pergantungan kita terhadap Dia dalam apa juga perkara. Begitu juga, kita sentiasa memerlukan bantuan daripada orang lain kerana diri kita ini tidak sempurna. Ada kekurangan kita yang mampu dipenuhi oleh orang lain dan ada kelebihan kita yang mampu memenuhi keperluan orang. Begitulah Allah mengatur dunia.
Kerana itu, harus sedar bahawa biar serapi mana pun perancangan kita, takdir Allah sentiasa  mengatasinya. Aye sudah melaluinya berkali-kali dan aye akur pada ketentuan Illahi. 
Subhanallah!
Betapa dahaganya kita dengan pertolongan Allah.
Tidakkah kelelahan, penyakit, gelisah, duka dan kesedihan menimpa seorang Muslim bahkan sekadar duri yang menyusuk kulitnya, melainkan Allah menjadikan semua itu sebagai penebus kesalahan-kesalahannya.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika Allah menimpakan engkau dengan suatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah mengkehendaki kebaikan kepada kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurniaanNya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendakiNya antara hamba-hambaNya dan Dialah yang maha Pengampun lagi maha Penyayang.
(Yunus 10: 107)






NSYAFQILA RUSLAN

No comments:

Post a Comment